melihat-anak-bulan

Anak Bulan Ramadan 1435H / 2014

Insyaallah esok, 29 Syaaban 1435 Hijrah bersamaan 27 Jun 2014 adalah tarikh melihat anak bulan Ramadan 1435H di seluruh negara. Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan pada Jumaat berkata Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi).

melihat-anak-bulan

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh permulaan Puasa melalui radio dan televisyen.

Menurut pejabat itu, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan akan melihat anak bulan Ramadan di Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat, Selangor dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor; Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Manjong, Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.

Lokasi lain ialah Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu di Terengganu; Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putera Semerak, Kota Baharu di Kelantan.

Tempat lain pula ialah di Tanjong Lubang, Miri; Teluk Bandung, Kuching dan Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah; Bukit Tanjung Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang; Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.

Doa Ketika Melihat Anak Bulan

Daripada Talhah bin Ubaidillah r.a. bahawa nabi SAW, apabila baginda melihat anak bulan baginda membaca doa yang bermaksud: Ya Allah keluarkanlah bulan sabit ini dengan keberkatan dan keimanan, berikanlah keselamatan dan keIslaman, Tuhanku dan Tuhanmu ialah Allah S.W.T. inilah sabit yang boleh memberi petunjuk serta kebaikan.

  1. Bulan merupakan kejadian Allah yang sangat berguna. Bagi umat Islam, anak bulan dapat menentukan tarikh awal Ramadhan serta dapat membuat penentuan ke atas amal ibadat yang hendak dilakukan dari masa ke semasa.
  2. Kalender Hijriah (Islam) terdiri dari dua belas bulan iaitu Muharam, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jumadil awal, Jumadil akhir, Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah.
  3. Islam sangat menggalakkan umatnya agar membaca doa apabila melihat sesuatu nikmat atau mendapat rahmat Allah, sama ada secara langsung ataupun tidak. Contohnya, apabila melihat anak bulan sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW

Sumber – Bernama, JAKIM

Share Button
featured_blog_rabiulakhir

Featured Blog – Takwim Dunia Islam

“Featured Blog” kali ini memaparkan sebuah lagi blog yang menggunakan widget Kalendar Hijrah. Blog yang dimaksudkan adalah Takwim Dunia Islam. Menggunakan alamat URL http://kalendarhijrah.blogspot.com/ – Alamat yang hampir sama dengan laman web ini.

featured_blog_rabiulakhir

Blog ini memaparkan peristiwa-peristiwa penting berlaku sepanjang Tahun Hijrah sejak Takwim ini digunakan. Selain itu terdapat juga “Converter” Tarikh Hijrah diletakkan di blog ini sebagai panduan kepada pengguna.

Blog ini boleh dilayari di http://kalendarhijrah.blogspot.com/

Share Button
rabiul_akhir

Rabiul Akhir – Bulan Terakhir Musim Bunga

Berlalu sudah bulan kelahiran Nabi Muhammad S.A.W, kini muncul pula bulan terakhir Musim Bunga atau lebih dikenali sebagai RABIUL AKHIR. Walaupun bulan ini tidak begitu menonjol berbanding bulan-bulan yang lain, namun di dalamnya terdapat pelbagai peristiwa penting yang perlu kita ingati.

rabiul_akhir

Antara peristiwa-peristiwa penting dalam bulan Rabiul Akhir adalah:

  • Peperangan – Peperangan NajranPengusiran kaum Yahudi Bani Nadir, Peperangan Al-Ghabah / Zi-Qarad dan Peperangan Al-Ghamar.
  • Pengepungan Damsyik – pada zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a diketuai oleh Abu `Ubaidah bin Al Jarrah dan Khalid bin Al Walid r.a tahun 14 Hijrah dan seterusnya membawa kepada pembukaan Damsyik.
  • Imam Ghazali meninggal dunia.
  • Isra’ & Mi’raj – Terdapat salah satu pendapat minoriti yang mengatakan 27 Rabiulakhir adalah tarikh Isra’ dan Mi’raj Rasulullah s.a.w (tarikh difardhukan solat). Namun begitu tarikh yang masyhur dan yang diguna pakai di Malaysia ialah 27 Rejab.

Menarik bukan? Insyaallah kami akan huraikan sedikit-demi sedikit peristiwa-peristiwa ini di masa akan datang.

 

Share Button
maulidur-rasul

Sambutan Maulidur Rasul 1435H

Berlangsung hari ini, Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1435H di Masjid Putra, Putrajaya.

MAULID-BANNER2212.pdf

Share Button
maulid_feat_02

Rasulullah SAW Perkasa Akidah

Kelahiran Rasulullah SAW adalah rahmat yang sangat besar kepada umatnya. Baginda diutus menjadi Rasul empat puluh tahun setelah kelahiran dengan menghidupkan wahyu-wahyu Allah begitu sempurna melalui perbuatan, perkataan dan pengakuannya atau apa yang dinamakan sebagai sunnah nabawiyah, Baginda dipuji oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang menjelaskan sifat sebenar sebagai seorang Rasul yang terakhir.

Firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat 128:

Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu, (dan) amat belas lagi penyayang kepada orang yang beriman.”

Dalam menjelaskan ayat ini, Sayyid Qutb dalam Tafsir Fi Zhilalil Qur’an mengatakan bahawa, Allah SWT mengungkapkan ‘dari kaummu sendiri’. yang menunjukan bahawa lebih akrab dalam hubungannya dan lebih menunjukkan ikatan yang mengaitkan mereka. Begitu juga pandangan Ibnu Katsir dalam Tafsir Qur’anil Adzim berkata, “Allah SWT menyebutkan limpahan nikmat yang telah diberikan-Nya kepada orang-orang mukmin melalui seorang rasul yang diutus oleh-Nya dari kalangan mereka sendiri, yakni dari bangsa mereka dan sebahasa dengan mereka.”

Rasulullah SAW juga sangat menginginkan umatnya memperoleh hidayah serta kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Maka segala hal yang diperintahkan Allah SWT untuk disampaikan kepada umatnya telah beliau sampaikan. Segala perkara yang mendekatkan umatnya ke syurga dan menjauhkan dari neraka telah sampaikan. Bahkan Rasulullah SAW mendoakan umatnya yang terbaik di hari perhintungan kelak agar umatnya beroleh syafaat. Inilah antara bentuk-bentuk kasih sayang Rasulullah kepada umatnya. Wahai jemaah dan umat Islam sekalian, inilah manusia teragung yang mesti dicontohi! Marilah kita berfikir sejenak, bagaimankah sikap, pertuturan dan perbuatan kita selama ini? Adakah telah kita contohi Rasulullah SAW ataupun sebaliknya? Cerminlah diri kita, adakah akhlak Rasulullah SAW telah kita jadikan sebagai amalan dan pakaian kita selama ini?

Rahmat dari kelahiran Rasulullah SAW merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia. Ia meliputi soal akidah, syariah dan akhlak. Dalam soal membersihkan akidah, Baginda membimbing umat mentauhidkan Allah, iaitu Tuhan yang layak disembah. Kemudian, dalam soal syariat atau hukum-hakam agama, ia diajar dan diperlihatkan oleh Baginda samada melalui teori dan amali. Yakin dan percayalah bahawa segala usaha ini telah meletakkan agama Islam sebagai agama yang yang diiktiraf di sisi Allah SWT dan menjamin umatnya kepada kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Inilah kemuliaan Rasulullah SAW, segala tindakan dan perbuatan Baginda hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah dan berpaksikan agama Islam dan jauh sekali untuk mendapatkan kepentingan peribadi. Firman Allah SWT dalam surah Ali- Imran ayat 19:

Bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih kecuali setelah sampai kepada mereka pengetahuan kerana hasad dengki di kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya. ”

Hari ini persoalan akidah dalam masyarakat Islam di negara kita menimbulkan pelbagai tafsiran dan pertikaian sehinggakan segelintir umat Islam menjadi keliru. Berdasarkan kepada pemerhatian, kesan daripada krisis ini ada sesetengah pihak cuba menentukan kedudukan akidah seseorang samada ianya seorang yang beriman, fasik, murtad dan yang paling malang lagi menjadi kufur. Persoalan besar timbul di sini kenapakah isu ini ditimbulkan sedangkan umat Islam pada hakikatnya bertauhidkan kepada akidah yang sama, beriman kepada Tuhan yang esa dan berkiblat ke arah yang sama? Antaranya disebabkan pemahaman sesuatu ideologi, terpengaruh dengan gerakan dakwah semasa yang disalah tafsir, penyalahan tafsir ayat-ayat al-Quran, taasub kepada fahaman tertentu dan sebagainya.

Mereka tidak lagi menghormati persaudaraan sesama Islam, batas-batas iman dan kufur yang mengelirukan diri mereka. Cuba kita bayangkan, mereka ini sanggup memulaukan sesama umat Islam sehingga berlaku perpecahan di dalam masyarakat dan yang paling malang ada yang sanggup mengkufurkan sesama sendiri. Mereka berpegang dengan pandangan yang mengatakan bahawa orang Islam yang tidak beramal dengan syariat Allah yang terkandung di dalam syahadah di hukum kufur sekalipun melakukan ibadah yang lain. Ingatlah, inilah bahaya dan ancaman besar yang sedang mendatangi umat Islam.

Persoalan sama ada amal sebagai penyempurna atau sebagai syarat sah iman, hanya berbeza apabila dirujuk kepada ilmu Allah SWT. Menurut pandangan Ibn Hajar di dalam kitabnya Fath al-Bari menyatakan bahawa: Ada pun pada pengetahuan manusia, iman hanya ikrar (pengakuan) sahaja; sesiapa yang mengaku muslim dan mengucap dua kalimah syahadah, maka ia diakui sebagai muslim dan hendaklah dilakukan ke atasnya hukum-hukum sebagai mana yang sepatutnya dilakukan terhadap orang Muslim, ia tidak lagi dihukum kafir, kecuali setelah ternyata padanya amalan-amalan yang menunjukkan sebaliknya, seperti menyembah berhala dan sebagainya.

Dalam Islam pengucapan dua kalimah syahadah merupakan pintu masuk agama Islam. Mereka yang mengucap dua kalimah syahadah ini diiktiraf sebagai seorang Islam dan melayakkan mereka melakukan amalan amalan dalam Islam serta juga dilindungi darah dan harta benda mereka dari sebarang pencerobohan. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Aku di perintah untuk memerangi manusia sehingga mereka mengatakan kalimah la ila ha il Allah dan Muhamad itu Rasulullah, maka jika mereka telah mengucapkannya maka terlindunglah darah mereka dan harta mereka kecuali dengan hak Islam dan kedudukan mereka itu terserah kepada Allah SWT.”(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dan Sabda Rasulullah SAW lagi

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan mengetahui bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dia akan masuk syurga.”(Riwayat Muslim)

Persoalan akidah sekiranya tidak ditangani dengan sebaik mungkin, ianya akan membawa kepada malapetaka yang boleh memecah-belahkan ummah dan dikhuatiri dapat melemahkan perpaduan dan akidah umat Islam. Ingatlah segala bentuk perpecahan yang berlaku dikalangan umat Islam merupakan satu petanda buruk yang pasti membawa kehancuran kepada umat Islam sendiri. Justeru, sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada terhadap segala ancaman yang boleh membawa kepada perpecahan ummah dan kesesatan akidah. Ini selari dengan tujuan Islam itu disyariatkan iaitu untuk memelihara kesucian ajaran Islam dan menyelamatkan umatnya daripada terpesong dengan ajaran atau pemahaman yang menyalahi syariat islamiah.

Lihatlah keadaan umat Islam hari ini dan bermuhasabahlah! Adakah selama ini telah kita buat yang terbaik untuk memelihara agama kita? Adakah kita telah buat yang terbaik untuk mempertahankan negara umat Islam yang sedang kita diami hari ini? Atau, mungkinkah ada dikalangan kita yang telah terpedaya dan diperalatkan oleh pihak musuh untuk menghancurkan kesucian agama dan tanah air kita sendiri? Fikir dan renungkanlah. Umat Islam sekalian marilah sama sama kita berpegang teguh dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT agar kita tidak tersesat dari jalan yang diredai-Nya. Sabda Rasulullah SAW:

Mafhumnya: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu Kitab Allah (al-Qur’an) dan Sunnah Rasul-Nya.”(Riwayat al-Malik)

Bersempena dengan Maulidul Rasul yang akan disambut pada 14 Januari ini, marilah sama-sama kita menjana peningkatan dalam penghayatan dan ketaatan dalam melaksanakan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Marilah sama sama kita mempertahankan akidah umat Islam dari sebarang penghinaan, perpecahan, kekeliruan dan kesesatan.

Program Maulidur Rasul ini pada dasarnya adalah sebahagian daripada aktiviti dakwah. Ia bertujuan untuk mentarbiyah, membimbing dan memperingatkan umat Islam agar menghargai apa yang dikurniakan oleh Allah SWT. Salah satu pengajaran itu ialah memperingati perjuangan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang pesuruh Allah yang paling berjaya menegakkan ajaran Allah, Rasul terakhir, tokoh teragong sepanjang abad di dunia dan akhirat kerana membawa perubahan besar kepada lanskap akidah seluruh juzuk hidup manusia di dunia.

Dengan demikian sambutan Maulidur Rasul yang diberi liputan meluas dalam media cetak dan media elektronik memberi peluang kepada rakyat pelbagai agama di negara ini memperingati seorang insan terpilih, memahami gaya kepimpinan, memahami akhlaknya dan memahami dasar politik, ekonomi dan sosial untuk kita teruskan dan hayati. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 31:

Maksudnya: “Katakanlah: Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Share Button